Memburu Klimaks Ramadhan

>> Tuesday, September 15, 2009

Assalamualaikum wwbkth,


Biasanya, dalam apa juga aktiviti yang dilakukan apabila semakin lama ia dilakukan semakin sempurna pekerjaan itu. Jika tidak mencapai kesempurnaan, sudah tentu ada sesuatu yang tidak kena telah berlaku. Oleh itu, mencari kesempurnaan adalah cita-cita yang perlu ada dalam setiap jiwa insan. Bagi seorang atlet, garis penamat adalah penentu bagi mereka untuk mendapatkan pingat emas, perak atau gangsa. Untuk sampai ke garisan penamat bukanlah satu tugas yang mudah, mereka terpaksa bersaing malah perlu menukar baton bahkan ada pula yang kena disqualified pada saat-saat akhir pertarungan. Bukan senang untuk mendapatkan tumbukan "knot out" dalam sesuatu pertarungan. Apapun, dalam apa juga perkara dan karier yang dilakukan oleh seseorang, saat-saat akhir itu adalah puncak atau klimaksnya sesiapa yang tak sampai ke puncak maka ia dikatakan belum mencapai kepuasan.

Inilah kiasan yang saya lakukan terhadap terhadap ramadhan karim ini. Biasanya ke penghujung ramadhan semakin banyak cubaan dan ujian yang dialami oleh mereka yang melakukan ibadah puasa, pergi shoping baju dan perbekalan raya, buat ot untuk dapatkan duit raya lebih, dengar lagu raya yang lemak merdu sungguh menggamit kenangan hingga terasa nak kembali semula ke zaman legasi kita satu masa dahulu dan ditambah pula dengan badan yang semakin keletihan akibat berpuasa dah masuk 26 hari ini. Terawih? tak payah pergilah malam ni kot, letih sangat nih sehari suntuk buat kerja tak ada masa nak rehat langsung. Itulah keluhan-keluhan dalam meniti malam-malam akhir ramadhan ini.

Seperti apa yang saya analogikan di atas, sebenarnya malam-malam akhir ramadhan ini sangat banyak kelebihannya kepada mereka yang benar-bener menghayati ramadhan. Suatu ketika rasulullah saw pernah diberitahu tentang malam lailataulqadar oleh Allah swt, tetapi tidak lama kemudian Allah swt telah melupakan baginda. Hikmahnya supaya Rasulullah saw dan umatnya ada sifat "mencari" malam lailatulqadar yang dinyatakan pada penghujung ramadhan. Nun jauh di Masjidilharam, semakin akhir ramadhan semakin sedih dan sayu nada para imam yang memimpin solat terawih sehingga sebak suara menahan tangisan serta qunut yang betul-betul mencengkam perasaan. Harapnya, semakin jauh kita berlari dan telah banyak liku-liku perjalanan yang telah ditempuhi sepanjang ramadhan kali ini janganlah ke penghujung ini semakin kendur dan lesu solat terwaih dan qiam lail. Di masjid dan surau kelihatan semakin sedikit safnya, balik kampung kot.. tak palah, tetapi jangan pula yang tak balik kampung tapi sibuk dengan urusan menyambut raya sehingga terlupa solat terawih.

Justeru itu, supaya kita termasuk dalam kalangan puasa golongan khawas al-khawas (puasa khusus) teruskanlah "maintain" dan "konsisten" dalam ibadah puasa serta ibadah-ibadah sunat terawih dan sebagainya. Biarlah ada rasa "berahi" puasa menuju puncak kenikmatan pada penghujung ramadhan ini sama seperti mereka yang mengejar pingat emas (walaupun pingat yang ditawarkan Allah swt lebih dari itu) pada aksi sukan. Jangan pula kita disqualified pada saat-saat akhir ramadhan ini hanya kerana perbuatan tertentu. Bersabarlah dalam menunaikan kewajipan, sesungguhnya Allah swt tidak akan menghampakan permintaan hambanya dan tidak akan meninggalkan ibadah hambanya dalam keadaan sia-sia. Sesungguhnya rahmat dan kasih sayangnya sangatlah luas untuk makhluknya, lebih luas dari segala langit dan bumi ini.

selamat berpuasa, berterawih, bertadarus, bersedekah dan berkiam lail.

Kuala Lipis
Indah Permai.

0 comments: